HADIS AKHIR ZAMAN

Sifat Amanah Akan Hilang Sedikit Demi Sedikit

Daripada Huzaifah bin Al-Yaman r.a. katanya; "Rasullullah saw. pernah memberitahu kami dua buah hadis (mengenai dua kejadian yang akan berlaku). Yang pertama sudah saya lihat sedang yang kedua saya menanti-nantikannya. Rasullullah saw. memberitahu bahawasanya amanat itu turun kedalam lubuk hati orang-orang yang tertentu. Kemudian turunlah al-Quran. Maka orang-orang itu lalu mengetahuinya melalui panduan al-Quran dan mengetahuinya melalui panduan as-Sunnah. Selanjutnya Rasullullah saw. menceritakan kepada kami tentang hilangnya amanah, lalu beliau bersabda, "Seseorang itu tidur sekali tidur, lalu diambillah amanah itu dari dalam hatinya, kemudian tertinggallah bekasnya seperti bekas yang ringan sahaja. Kemudian ia tertidur pula, lalu diambillah amanah itu dari dalam hatinya, maka tinggallah bekasnya seperti lepuh ditangan (mengelembung ditangan dari bekas bekerja berat seperti menggunakan kapak atau cangkul). Jadi seperti bara api yang kau gilingkan dengan kakimu, kemudian mengelembunglah ia dan engkau melihat ia meninggi, padahal tidak ada apa-apa". Di ketika Rasullullah saw. menceritakan hadis ini beliau mengambil sebiji batu kecil (batu kerikil) lalu menggilingkannya dengan kakinya.

"Kemudian berpagi-pagi (jadilah) orang ramai berjual beli, maka hampir sahaja tiada seorang juga pun yang suka menunaikan amanah, sampai dikatakan orang bahawasanya di kalangan Bani Fulan (dikampung yang tertentu) itu ada seorang yang sangat baik memegang amanah, sangat terpecaya dan orang ramai mengatakan, "Alangkah tekunnya dalam bekerja, alangkah indahnya pekerjaannya, alangkah pula cerdik otaknya. Padahal didalam hatinya sudah tiada lagi keimanan sekalipun hanya seberat timbangan biji sawi."

"Maka sesungguhnya telah sampai masanya, saya pun tidak mempedulikan manakah antara kamu semua yang saya hendak bermubaya'ah (berjual beli). Jikalau ia seorang Islam, maka agamanyalah yang akan mengembalikannya kepada ku (maksudnya agamalah yang dapat menahannya dari khianat). Dan jikalau ia seorang Nashrani atau Yahudi , maka pihak bertugaslah yang akan mengembalikannya kepada ku (maksudnya jika dia seorang Nashrani atau Yahudi maka orang yang memegang kekuasaan/pemerintahlah yang dapat membantu aku untuk mendapatkan semua hak-hak ku daripadanya.) Ada pun pada hari ini maka  saya tidak pernah berjual beli dengan kamu semua kecuali dengan Fulan dan Fulan (orang-orang tertentu sahaja)".
                                                                                                                    H.R. Bukhari Muslim